Kongres kelapan Kongres_Bahasa_dan_Persuratan_Melayu

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8 telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 28-30 Oktober 2011. Kongres tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.[2][3] Pengerusi KBPM 2011 ialah Datuk Wira Profesor Dr. Abdul Latif bin Abu Bakar. Manakala, Jawatankuasa Resolusi Kongres terdiri oleh:

i. Profesor Datuk Dr. Zainal Klingii. Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhaniii. Profesor Emeritus Dr.Abdullah Hassaniv. Tuan Rusli Abdul Ghani

Berikut adalah resolusi/ ketetapan yang dikeluarkan oleh KBPM kali ke-8. KBPM 2011 ini telah dianjurkan oleh GAPENA, Majlis Muafakat Melayu Malaysia serta Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Seramai 500 orang peserta yang mewakili 200 pertubuhan bahasa dan persuratan Melayu telah menghadiri kongres ini.

Landasan utama

I. Mengingatkan bahawa Kongres ini telah berlangsung sebanyak lapan kali dengan membuat pelbagai ketetapan;II. Memahami bahawa pada ketika ini bahasa dan persuratan Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam pemerkasaannya dalam pelbagai bidang urusan pentadbiran negara.III. Meyakini bahawa bahasa dan persuratan Melayu adalah landasan benar bagi pembinaan peradaban Malaysia moden, MAKA INILAH DITETAPKAN OLEH KONGRES YANG BERSIDANG INI SEPERTI DIPETURUNKAN DI BAWAH INI:

Ketetapan-ketetapan

BAHAWA KONGRES MEMBUAT DESAKAN BERIKUT:

I. Sistem Pendidikan:

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah bertegas, dengan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai Akta yang berkaitan, untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara dalam semua urusan rasmi dan secara rasmi melarang segala gagasan dan desakan untuk amalan selain daripada peruntukan undang-undang itu. Semua cadangan bertentangan seperti PPSMI (Pembelajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) adalah merupakan tindakan melanggar undang-undang dan wajar dilarang serta dikenakan hukuman. Maka Kongres menyokong penuh pemansuhan PPSMI itu sebagai dasar pengajaran dan pembelajaran.

II. Kerajaan Tempatan:

i. Kerajaan-Kerajaan Negeri mestilah menyeragamkan semua peruntukan undang-undang berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan yang mengenai dasar Bahasa Kebangsaan supaya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekuuan untuk dapat mengawal semua penamaan jalan raya dan bangunan serta pengiklanan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terutama bagi pemaparan di khalayak awam termasuk oleh pihak swasta.

ii. Kerajaan Pesekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaksanakan penyelarasan dengan pelbagai agensi PBT dalam urusan meluluskan permit dan lesen selaras dengan kedudukan Bahasa Kebangsaan.

III. Ekonomi dan Kewangan:

i. Kerajaan Malaysia hendaklah, melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai penggerak utama sistem ekonomi negara;

ii. Melalui Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka memperkasakan semula secara berterusan Jawatan Kuasa Istilah supaya dapat membina peristilahan ilmu sejajar dengan perkembangan ekonomi dan kewangan semasa dan supaya dalam rangka 5 tahun seluruh sistem ilmu terutama ekonomi dan kewangan dapat dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.

IV. Pengajian Tinggi:

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan; dan berusaha sepenuhnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan. Dalam hubungan ini, Kongres menegaskan sokongan kuat terhadap pengumuman Menteri Pengajian Tinggai pada 27 Oktober 2011 tentang pembinaan ilmu, penerbitan buku dan kenaikan pangkat tenaga akademik di Malaysia berlandaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

V. Perkhidmatan Awam:

Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan tadbiran negara dan menjadikan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai pelindung kepada Bahasa Kebangsaan itu serta tidak melanggar semua peruntukan undang-undang berkaitan dengannya. Dalam hubungan ini Kongres menyokong sekuatnya keputusan JPA untuk melaksanakan Pekeliling penggunaan bahasa Melayu dalam tadbiran Negara dan menegaskan supaya sentiasa memantau atau mengaudit pelaksanaan itu.

VI. Media, Komunikasi dan Penyiaran:

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan para pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh masyarakat awam Malaysia; dan juga mewujudkan satu garis panduan untuk digunakan oleh semua badan penyiaran dan penerbitan.

VII. Perlembagaan:

Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan berasaskan undang-undang;

VIII. Pemasyarakatan Persuratan Melayu:

Kerajaan Malaysia melalui pelbagai Kementerian dan Jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyak penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam semua bidang ilmu untuk mencapai matlamat-matlamat berikut:

i. Memandaikan dan memperluas ilmu ke dalam seluruh lapisan masyarakat sebagai asas ketamadunan Malaysia;

ii. Menggunakan teknologi penerbitan yang ekonomis untuk mengurangkanberlebihan inventori dan supaya bahasa Melayu berkembang rapat dengan anggota rumpunya serta tersebar luas ke seluruh dunia;

iii. Mendesak semua penerbit IPT menerbitkan semua penulisan para pensayarah dalam bahasa Melayu sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran sebagai penegasan nilai ekonomi bahasa Melayu;

iv. Memastikan warganegara Malaysia mendapati segala jenis ilmu untukmelangsungkan kehidupan mereka melalui bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan;

v. Mengembangkan lagi daya cipta dan kreativiti yang sedia ada pada para penulis dan ilmuwan melalui bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dengan mengangkat darjat mereka.

Ikrar Kongres

PERTAMA, BAHAWA KAMI YANG BERSIDANG DALAM KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU KE-VIII INI AKAN MEMANTAU PEMARTABATAN DAN PEMERKASAAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM NEGARA MELALUI SEBUAH MAJLIS PEMANTAUAN DAN TINDAKAN BAHASA KEBANGSAAN DEMI KEMAJUAN, PERPADUAN DAN KEUTUHAN BANGSA DAN NEGARA MALAYSIA DI SEPANJANG ZAMAN.

KEDUA, KAMI MENDESAK SEMUA KEMENTERIAN, AGENSI KERAJAAN DAN BADAN SWASTA SUPAYA MENUBUHKAN JABATAN PEMANTAU ITU UNTUK MENDAULATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN NEGARA KITA.

KETIGA, KAMI MENYERU SEMUA PIHAK DARIPADA PARA PEMIMPIN NEGARA, MASYARAKAT AWAM DAN PIHAK SWASTA WAJIB SENTIASA YAKIN SERTA MENJADI PENERAJU UTAMA DALAM BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN KITA.

KEEMPAT, KAMI MENYERU KERAJAAN SUPAYA KEMBALI KEPADA PERLEMBAGAAN MALAYSIA DENGAN MENYEBUT BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DAN BUKAN 'BAHASA MALAYSIA'.

MAKA INILAH KETETAPAN DAN IKRAR KAMI. WALLLAHU ALAM.

Rujukan

WikiPedia: Kongres_Bahasa_dan_Persuratan_Melayu http://arkibattakiri.blogspot.com/2009/02/kesan-sa... http://kembarabahasa.blogspot.com/2011_10_01_archi... http://wwwdakabeblogpotcom.blogspot.com/2011/06/ko... http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1817/kongg... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kongres... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt... http://klikweb.dbp.my/?p=1416 http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp1nov6.pdf http://plm.org.my/wrdp1/?page_id=197 http://pdffinder.net/Kongres-Bahasa-dan-Persuratan...